Cadang buka kaunter suntikan vaksin di masjid

Kuala Terengganu- Kerajaan negeri berhasrat membuka kaunter suntikan vaksin Covid-19 di sebuah masjid di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memudahkan penerima mendapatkan suntikan

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri , Dr Alias Razak berkata, pihaknya bagaimanapun perlu mengatasi masalah berkaitan sumber manusia daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu.

“Kekangan kita pada hari ini adalah daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sendiri yang tidak cukup (kakitangan) kerana banyak sangat kerja dengan jaga pusat kuarantin, jaga hospital dan wad.

“Itu kekangan yang dihadapi melainkan kita akan dapat bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta,” katanya.

Dr Alias berkata, setakat ini, lebih 100 klinik swasta di Terengganu ditawarkan menjadi ejen pemberian suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, hanya empat klinik bersetuju memberikan kerjasama bagi menjayakan program itu.

Sebelum ini, kira-kira 10,000 orang di negeri ini tidak hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Vaksinansi Fasa Kedua.

Majoriti penduduk yang tidak hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 memberi alasan terlupa temu janji dan tiada kenderaan.

Kredit : Harian Metro

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *