Terlupa tarikh,tiada kenderaan alasan tak pergi suntik vaksin

KUALA NERUS – Lebih 10,000 individu dikesan gagal hadir janji temu suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, rata-ratanya memberikan alasan terlupa tarikh dan tiada kenderaan hingga terlepas janji temu ditetapkan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pihak Jabatan Kesihatan terpaksa mencari alternatif dengan memanggil individu lain untuk menerima suntikan berkenaan.

“Setakat ini tiada pembaziran vaksin kerana kita berusaha menggantikan kekosongan slot itu dengan individu dalam senarai menunggu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu Alias berkata, kerajaan negeri bercadang untuk membuka kaunter suntikan vaksin Covid-19 di masjid-masjid terpilih bagi memudahkan golongan sasar menerima manfaat tersebut.

Katanya, kerjasama orang ramai terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta amat dialu-alukan untuk turut sama membantu dalam aktiviti itu selain peranan warga Jabatan Kesihatan.

“Kita juga dapati sambutan kalangan klinik swasta untuk menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masih rendah.

“Daripada keseluruhan lebih 100 klinik swasta di negeri ini, hanya empat sahaja yang bersetuju untuk terlibat sama dan menawarkan perkhidmatan tersebut,” katanya.

Kredit : Utusan Malaysia

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *