JERANTUT – Orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik ekoran pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown fasa pertama yang akan bermula 1 hingga 14 Jun ini.
Pengumuman total lockdown itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam selepas mengambil kira peningkatan jumlah kes harian Covid-19 yang mencecah lebih 8,000 setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, orang ramai tidak perlu menyerbu mana-mana pasaraya untuk membeli barangan keperluan kerana ia tetap beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya nasihatkan orang ramai agar tidak membuat pembelian panik kerana ia akan menyebabkan kesesakan di pasaraya yang dikhuatiri akan menyebabkan penularan wabak Covid-19.
“Anda boleh ke pasaraya pada bila-bila masa dan bekalan keperluan harian dijangka mencukupi untuk menampung keperluan masyarakat setempat,” katanya.
Menurut beliau, para peniaga turut diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan memanipulasi harga kerana pemantauan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang akan membuat pemantauan di semua premis perniagaan.
“Semua pihak perlu memberi kerjasama dan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang ingkar termasuk kompuan sehingga RM50,000 bagi individu manakala syarikat RM100,000 di bawah Akta Pencatutan,” ujarnya.
Beliau juga menyeru orang ramai agar terus berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagaimanapun membenarkan beberapa sektor ekonomi dan perkhidmatan untuk beroperasi sepanjang total lockdown. – Utusan Timur