KPDNHEP Pahang pantau peniaga daging jalanan kaut untung lebih

Nazri Ngah (baju putih) menunjukkan harga kawalan dan label tanda harga bagi barangan kawalan musim perayaan yang perlu dipatuhi oleh peniaga di Pahang

JERANTUT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang akan bertindak lebih tegas terhadap peniaga daging jalanan yang menjual dengan harga tinggi pada musim perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, peniaga daging segar yang menjual melebihi harga kawalan iaitu RM34 sekilogram akan berdepan kompaun sehingga RM50,000.

“Kita telah tetapkan harga kawalan bagi daging segar dan peniaga juga perlu meletakkan tanda harga menggunakan label warna merah jambu.

“Sekiranya mereka menjual dengan harga lebih mahal dan tiada label merah jambu, kompaun akan dikenakan kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, terdapat khabar angin mengenai segelintir peniaga yang akan menjual daging segar dengan harga lebih tinggi dan perbuatan ini akan menganiaya pengguna.

“Peniaga juga perlu mendapatkan permit sembelih haiwan dari agensi terlibat dan menggunakan alat timbang yang sah ketika berurus niaga,” ujarnya.

Beliau memberitahu, orang ramai boleh membuat aduan di portal e-aduan@kpdnhep.gov.my atau hubungi talian 1-800-886-800 sekiranya terdapat peniaga yang ingkar.

Dalam perkembangan lain, Nazri berkata, banyak gerai lemang mula beroperasi biarpun sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini tidak meriah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana di seluruh negara.

Nazri Ngah meninjau gerai lemang di Simpang Perumahan Kos Rendah 410, Jerantut hari ini

“Biarpun perantau tidak pulang beraya di Kampung namun gerai lemang tetap meriah kerana ia merupakan juadah popular di negeri ini setiap kali sambutan Aidilfitri,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai boleh membeli lemang di sepanjang jalan Jerantut-Maran dan Jerantut-Temerloh sebagai juadah Hari Raya Aidilfitri dan berharap seluruh umat Islam di daerah ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) musim perayaan yang di telah di tetap oleh kerajaan. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *