ATM ambil masa 17 jam bina jambatan Compact Bailey 100 di Jerantut

Ismail Sabri (baju putih) merasmikan jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Sungai Putat, Jerantut kelmarin

JERANTUT – Hanya 17 jam diperlukan untuk menyiapkan jambatan Compact Bailey 100 bagi menggantikan jambatan yang dibina oleh penduduk di Kampung Sungai Putat, di sini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 60 anggota dan dua pegawai dari pasukan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dari Skuadron Ke-9 RAJD, Kem Terendak, Melaka dan Skuadron Ke-11 RAJD (Mekanize), Kem Batu 3 Mentakab di kerahkan untuk menyiapkan jambatan tersebut.

“Jambatan ini dibina bagi menggantikan jambatan lama yang rosak teruk akibat banjir pada awal tahun ini dan ia ditutup pada 24 Mac lalu.

“Sebelum jambatan ini siap, hampir 1,000 penduduk di beberapa kampung sekitarnya berdepan masalah untuk ke pusat bandar dan sekolah menyebabkan mereka membina jambatan sendiri menggunakan batang pokok kelapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jambatan Compact Bailey 100 di Kampung Sungai PUTAT di sini kelmarin.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.

Menurutnya, jambatan Compact Bailey 100 sepanjang 24 meter dan lima meter lebar dibina 28 April 2021 itu merupakan usaha Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu penduduk kampung untuk memudahkan urusan harian mereka.

Beliau memberitahu, ATM sebelum ini turut membina jambatan yang sama di Kampung Lechar, Raub dan Kampung Belimbing, Maran serta Kampung Belum Baru, Lenggong, Perak. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *