Alan terima sumbangan RM14,000

Nazri Ngah (dua dari kiri) bersama Ahmad Nazlan (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Alan (duduk) di Dewan Terbuka Galeri Mat Kilau, Jerantut semalam

JERANTUT – Penjaga gol utama Jerantut FA, Muhamad Rodzlan Arbae yang kehilangan kaki kirinya akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini menerima sumbangan sebanyak RM14,000.

Sumbangan tersebut diberikan oleh kerajaan negeri berjumlah RM10,000 manakala RM4,000 diterima daripada UMNO Bahagian Jerantut.

Rodzlan atau lebih mesra dengan panggilan Alan berkata, beliau sangat terharu apabila nasib yang menimpa dirinya mendapat perhatian banyak pihak.

“Saya akan gunakan wang sumbangan daripada semua pihak untuk perbelanjaan keluarga dan mendapatkan kaki palsu bagi memudahkan pergerakan.

“Sambutan Aidilfitri kali ini juga agak suram kerana pergerakan yang terbatas namun saya redha dengan takdir Ilahi,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan di Dewan Terbuka Galeri Mat Kilau, di sini hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah serta turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Kaki kiri Alan terpaksa dipotong akibat cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal berhampiran simpang Taman Ria, di sini 23 April lalu.

Tragedi yang menimpa Alan menyebabkan penjaga gol berusia 34 tahun itu tidak dapat beraksi di atas padang buat selama-lamanya.

Sementara itu, Nazri memberitahu, pihaknya serta kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib yang menimpa Alan dan berharap beliau dapat menggunakan sumbangan tersebut sebaik mungkin.

“Hari ini saya mewakili kerajaan negeri turut mengagihkan 69 unit komputer riba kepada pelajar-pelajar tingkat lima yang berdaftar dalam program E-Kasih serta menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi dan Timbalan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) daerah ini, pesakit-pesakit kronik, mangsa banjir dan ribut membabitkan peruntukan hampir RM100,000, ” ujarnya. – Utusan Timur

Nazri Ngah (kanan) menyerahkan komputer riba kepada seorang pelajar di Dewan Terbuka Galeri Mat Kilau, Jerantut semalam

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *