Jerantut bakal jadi pengeluar utama musang king organik D197

Dr Raymond menyerahkan cenderahati kepada Ahmad Nazlan pada majlis berbuka puasa di Hotel Park View, Jerantut semalam

JERANTUT – Jerantut bakal menjadi pengeluar utama durian musang king organik D197 tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, kerajaan akan menyediakan tanah seluas 40 hektar bagi menjayakan projek perintis tanaman musang king organik yang akan diusahakan oleh sebuah syarikat perladangan antarabangsa, United Tropical Fruit (UTF).

“Kita telah memilih Tembeling Tengah dan beberapa kawasan tanah milik kerajaan yang lain sebelum mendapat kebenaran kerajaan negeri bagi membolehkan UTF memulakan tanaman durian D197.

“Jerantut sudah terkenal dengan pelbagai jenis durian dan kehadiran D197 ini akan melonjakkan lagi daerah ini sebagai salah satu pengeluar durian setanding dengan Bentong dan Raub,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Hotel Park View, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan UTF , Dr Raymond Samy; Pengarah Urusan Durian Fresh Sdn. Bhd., Saiful Fazami dan Pegawai Pendidikan Jerantut, Dr Azman Uzir.

Ahmad Nazlan memberitahu, musang king organik D197 merupakan produk pasaran ke Eropah dan China sekaligus mampu merancakkan pembangunan ekonomi setempat dan pelancongan berasaskan pertanian.

“Saya harap projek ini dapat direalisasikan dan semua pihak perlu memberi kerjasama yang baik kerana tanaman ini diusahakan dalam jangka masa yang panjang,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Raymond berkata, UTF merupakan syarikat perladangan antarabangsa beribu pejabat di Singapura dan telah melaksanakan projek buah-buahan organik di beberapa negara seperti Thailand, Indonesia dan benua Afrika.

“Permintaan untuk durian D197 ini sangat tinggi namun saya difahamkan kita hanya mampu menyediakan bekalan 11 peratus sahaja jadi amat rugi sekiranya kita tidak manfaatkan peluang yang ada ini.

“Jerantut merupakan satu lokasi yang amat strategik untuk kita buka ladang durian ini dan saya yakin dengan bimbingan dan kepakaran yang ada membolehkan kita menjadi pengeluar utama D197 nanti,” jelasnya.

Menurutnya, UTF juga akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan serta sebagai pusat latihan untuk menjayakan projek berkenaan. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *