Penjawat awam negeri Pahang terima bantuan khas RM1,000

Wan Rosdy mengumumkan bantuan khas RM1,000 kepada penjawat awam negeri Pahang hari ini – Ehsan Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Penjawat awam di negeri ini menerima Bantuan Khas Kewangan RM1,000 sempena Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan memperuntukkan RM8 juta untuk diagihkan kepada 8,000 penjawat awam.

“Pemberian ini meliputi semua gred serta saguhati turut diberikan kepada penjawat awam Persekutuan bergred Jusa C serta ke atas yang berkhidmat di negeri ini dan pembayaran dijangka dibuat pada 7 Mei ini,” katanya.

Menurut beliau, keputusan pemberian Bantuan Khas itu dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikannya pagi tadi.

“Kita mempunyai kemampuan kewangan untuk diberikan kepada mereka dan kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap rakyat termasuk penjawat awam,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Rosdy hari ini turut mengumumkan agihan keuntungan Unit Ladang Dan Dividen Modal Syer Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

“Dividen Modal Syer adalah sebanyak 30 peratus manakala RM3,300 seunit
bagi agihan keuntungan Unit Ladang dan pembayaran dibuat menggunakan keuntungan semasa tanpa melibatkan wang rizab,” ujarnya.

Tambahnya, pembayaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank anggota yang layak bermula dari 30 April 2021. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *