Alan ucap selamat tinggal kepada dunia bola sepak

Alan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh

JERANTUT – Penjaga gol utama Jerantut FA, Muhamad Rodzlan Arbae terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak apabila kaki kirinya terpaksa dipotong selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, Rodzlan atau lebih mesra dengan panggilan Alan menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 menuju ke tempat kerjanya di Majlis Daerah Jerantut sebelum berlanggar dengan sebuah motosikal berhampiran simpang Taman Ria, di sini.

Alan berkata, motosikal yang datang dari arah pusat bandar itu telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikalnya sehingga menyebabkan kaki kirinya cedera parah.

“Selepas kemalangan itu, saya terkejut melihat bahagian betis kiri cedera teruk dan saya sudah terbayang kaki ini akan dipotong.

“Sebaik tiba di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh jangkaan saya tepat apabila kaki kiri dipotong kerana berlaku banyak pendarahan,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak menyangka akan kehilangan kaki yang selama ini digunakan untuk beraksi di atas padang namun redha dengan takdir Allah.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan peminat yang tampil memberi kata-kata semangat untuk saya meneruskan hidup selepas ini serta sumbangan kewangan,” ujarnya.

Pemain berusia 34 tahun itu memberitahu, beliau akan merindu dunia bola sepak yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada asam garam hidupnya.

“Setakat ini sahaja sumbangan dan khidmat saya untuk pasukan Jerantut dan berharap penggantinya nanti akan beraksi lebih cemerlang,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, satu tabung sumbangan telah digerakkan untuk membantu Alan terutama untuk tujuan rawatan.

Nama Alan mula menjadi sebutan peminat bola sepak di daerah ini apabila mempamerkan aksi hebat ketika pasukannya menentang Perak dalam saingan Piala FA dua tahun lalu.

Alan (kiri) menerima penghargaan selepas mempamerkan aksi hebat pada saingan Piala FA dua tahun lalu

Biarpun gagal membantu pasukannya layak ke peringkat seterusnya namun kecekapan Alan mengawal gawang memaksa pasukan Perak bermandi peluh untuk mendapatkan jaringan malah penjaga gol bertubuh kecil itu turut menerima anugerah pada perlawanan tersebut. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *