JERANTUT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pahang tidak akan mengamalkan sikap memilih bulu dalam menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang aktiviti manipulasi harga dan untung berlebihan di kalangan peniaga.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, skim harga maksimum musim perayaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dilancarkan hari ini dapat mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa kerakusan peniaga.
“Penguatkuasaan undang-undang amat penting agar pengguna tidak teraniaya ketika membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut bulan depan.
“Sebanyak 11 barangan keperluan pengguna diletakkan sebagai barangan kawalan iaitu ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A hingga C, daging lembu tempatan, daging kerbau import dari India, ikan kembung, ikan tongkol dan ikan selayang,” katanya selepas merasmikan skim berkenaan di Pasaraya Econsave Jerantut hari ini.
Menurutnya, pihak KPDNHEP negeri akan membuat pemantauan berkala di semua premis perniagaan termasuk pasar tani dan bazar Ramadan.
“Para peniaga juga diingatkan agar meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal dan pengguna boleh membuat aduan sekiranya barang tersebut dijual melebihi harga yang ditetapkan.
“Peniaga individu yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 dan kompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat pula didenda sehingga RM20,000 serta kompaun sehingga RM10,000,” jelasnya.
Tambahnya, 345 daripada 18,781 kes yang telah disiasat sejak Januari telah menghasilkan nilai rampasan sebanyak RM274, 114.40 dan kompaun sebanyak RM89,000.
Orang ramai yang boleh membuat aduan di portal [email protected] atau hubungi talian 1-800-886-800. – Utusan Timur