Dua pelajar kolej swasta ditahan disyaki palsukan dokumen rentas negeri

Dokumen rentas negeri yang dipalsukan oleh dua pelajar kolej swasta ketika cuba melepasi sekatan jalan raya di Tol Bentong kelmarin

BENTONG – Dua remaja ditahan dipercayai menggunakan borang rentas negeri palsu ketika melalui sekatan jalan raya Plaza Tol Bentong, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaihan Mohd Kahar berkata, kedua-dua pelajar kolej swasta yang berusia 22 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan kira-kira pukul 6.45 petang.

“Pemeriksaan yang dilakukan oleh anggota bertugas mendapati dokumen rentas negeri yang dipamerkan tidak lengkap dan meragukan.

“Borang yang dipamerkan juga tidak mempunyai cop rasmi manakala cop dan tandatangan ketua balai juga palsu dipercayai dibuat menggunakan teknik imbasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap telefon bimbit remaja terbabit turut menjumpai salinan borang rentas negeri yang kosong disyaki dipalsukan kerana sudah ditandatangani oleh ketua balai.

“Kita juga melakukan ujian saringan air kencing dan salah seorang daripadanya positif ganja,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan (KK) pemalsuan bagi maksud hendak menipu, Seksyen 471 KK menggunakan surat pemalsuan sebagai tulen dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

“Bagi kes positif ujian air kencing pula disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan saya ingin menasihati orang ramai agar menggunakan saluran yang betul bagi tujuan rentas negeri,” jelasnya. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *