Iklan judi raya cuba pengaruhi umat Islam

Tangkap layar iklan judi raya yang tersebar di media sosial sekarang
Tangkap layar iklan judi raya yang tersebar di media sosial sekarang

JERANTUT – Dua sindiket judi atas talian yang menggunakan iklan Hari Raya bagi mempromosikan kegiatan haram itu mengundang kemarahan umat Islam.

Dua video yang tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu dilihat secara sengaja mengajak umat Islam berjudi bagi mendapatkan wang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Video yang masing-masing berdurasi dua minit satu saat dan tiga minit 19 saat itu turut menggunakan pelakon beragama Islam bagi mempromosikan judi atas talian.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, pihak berkuasa perlu lebih tegas menangani kejadian tersebut kerana bimbang ramai umat Islam akan terjebak.

Ahmad Nazlan Idris

“Iklan tersebut pada mulanya menunjukkan seorang lelaki menghadapi masalah kewangan dan telah terjebak dengan judi atas talian.

“Lelaki tersebut kemudiannya menjadi kaya sekelip mata dan sindiket tersebut seolah-olah mengambil kesempatan ketika banyak pihak berdepan dengan masalah kewangan akibat wabak pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Timur hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak harus berdiam diri kerana kaedah ini berkemungkinan akan melarat jika tidak dibendung dari awal.

Sementara itu, Kadi Daerah, Syarifuddin Mohamad Saad memberitahu, judi merupakan satu dosa besar bagi umat Islam dan mereka tidak harus terjebak dengan perbuatan terkutuk itu.

Syarifuddin Mohamad Saad

“Mereka yang tidak bertanggungjawab dilihat mengambil kesempatan terhadap kelemahan umat Islam hari ini dan mereka sanggup menggunakan pelakon Melayu untuk mempromosikan iklan itu,” jelasnya.

Tambah beliau, iklan judi raya itu telah mengguris hati umat Islam dan berharap agar rakyat negara ini terus istiqamah menjalani ibadah puasa bagi membendung perbuatan yang dilarang oleh Allah. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *