Pemandu lori maut kemalangan tiga kenderaan

Dua lori remuk setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 8 Jalan Lipis – Benta awal pagi tadi

LIPIS – Seorang pemandu lori maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 8 Jalan Lipis – Benta, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, Mohamad Khairul Izwan Zamri, 25, dari Kampung Pantai Senok, Bachok, Kelantan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lipis.

Mangsa yang cedera parah ialah Mohamad Mat, 55, dari Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh dan Muhammad Aiman Anuar Mohd Shuib, 20, dari Kmapung Gong Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, sebuah lori satu tan dari arah Benta telah masuk ke laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah kereta jenis Nissan Sentra.

Nissan Sentra mengalami kerosakan selepas bergesel dengan sebuah lori di Kilometer 8 Jalan Lipis – Benta awal pagi tadi

“Lori terbabit kemudiannya bertembung dengan lori tiga tan juga dari arah bertentangan yang dipandu oleh Khairul Izwan menyebabkan kedua-dua kenderaan berat itu remuk di bahagian hadapan.

“Akibat rempuhan itu, lori tiga tan telah terbalik dan Khairul Izwan bersama pemandu serta kelindan lori satu tan mengalami cedera parah dan Izwan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya.

Menurutnya, kelindan lori tiga tan hanya mengalami cedera ringan manakala pemandu Nissan Sentra tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa akan dibedah siasat selepas selesai ujian swab test dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *