Bangunan SAR Felda Sungai Tekam tidak selamat

Syed Ibrahim (kanan) dan Nazri Ngah (kiri) meninjau kerosakan bangunan SAR di Felda Sungai Tekam, Jerantut hari ini

JERANTUT – Bangunan Sekolah Agama Rakyat Al-Wosto Felda Sungai Tekam, di sini kini tidak selamat digunakan selepas dibadai ribut Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerosakan struktur bangunan terutama di bahagian bumbung menyebabkan ia tidak boleh digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Kita sudah membuat tinjauan ke semua bangunan yang rosak bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah dan mereka memberitahu bahawa bangunan tersebut sudah tidak selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke sekolah terbabit bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.

Sementara itu, Nazri memberitahu, pembinaan bangunan baharu merupakan langkah terbaik bagi menggantikan bangunan lama yang dibina pada tahun 90-an.

“Kita akan dapatkan maklumat terperinci dan anggaran kos daripada pihak JKR serta Felda Engineering sebelum kerja-kerja membina bangunan baharu dimulakan.

“Kerajaan negeri, Felda dan agensi yang terlibat akan membantu bagi menyediakan kemudahan pendidikan kepada murid-murid di sini,” ujarnya.

Jumaat lalu daerah ini dilanda ribut dan hujan lebat menyebabkan beberapa premis serta kediaman mengalami kerosakan. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *