Wajib upah Rela kawal kenduri kahwin

 

Rela kawal kenduri

Penganjur majlis perkahwinan di Kelantan diwajibkan mengupah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

Selain itu, jemputan dihadkan kepada 50 tetamu dewasa pada satu-satu masa, manakala kehadiran bayi, kanak-kanak dan individu yang mempunyai penyakit kronik tidak digalakkan.

Syarat baharu penganjuran majlis perkahwinan itu berkuat kuasa esok dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam kenyataan dimuat naik di Facebook memaklumkan, susunan meja untuk majlis perkahwinan juga perlu berjarak dua meter.

Kenyataan itu menyebut, penjarakan sosial bagi kerusi diduduki tetamu pula perlu sekurang-kurangnya satu meter, manakala penganjur dan tetamu diwajibkan memakai pelitup muka melainkan ketika waktu makan.

“Semua penganjuran majlis perkahwinan hendaklah mendapatkan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan cara memohon di balai terdekat, sebelum mendapatkan kebenaran berkahwin dengan Pegawai Agama Jajahan.

“Arahan ini berkuat kuasa mulai esok 1 April di seluruh Kelantan sehingga tarikh yang diberitahu kelak,” kata kenyataan itu.

JKNK juga mewajibkan ruang berlangsungnya majlis termasuk tandas dan kawasan keseluruhan disanitasi sebelum dan selepas penganjuran.

Selain itu, lokasi dipilih juga perlu mempunyai pengudaraan yang baik dengan pintu keluar masuk yang berlainan.

“Semua penganjur juga mesti mendaftarkan tetamu menggunakan imbasan QR kod melalui aplikasi MySejahtera selain daripada pendaftaran bagi rekod penganjur,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kes Covid-19 di Kelantan meningkat mendadak sejak beberapa hari lalu menjadikan kadar kebolehjangkitan (R-Naugh) negeri itu paling tinggi.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin dilapor berkata, lima kluster terbaharu wujud di negeri itu yang kebanyakannya berpunca daripada majlis komuniti termasuk kenduri kahwin.

Kredit : Suara Viral

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *