Semua majlis di Kelantan perlu ada kelulusan polis

KOTA BHARU: Penduduk di negeri ini yang ingin menganjurkan sebarang majlis seperti kenduri kahwin, tahlil, keraian, perjumpaan dan sebagainya perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak polis berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, peraturan itu berdasarkan keputusan dicapai menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini.

Menurutnya, ia merupakan salah satu usaha bagi membendung penularan Covid-19 yang menunjukkan trend menaik di Kelantan ketika ini.

“Polis akan turun padang untuk menjalankan pemeriksaan ke atas majlis berkenaan untuk memastikan sama ada prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi atau tidak.

“Kita juga akan memeriksa sama ada majlis yang dianjurkan mempunyai kelulusan atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat tersebut yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Abdullah memberitahu, jika pelanggaran peraturan dikesan, polis sama sekali tidak akan berkompromi.

Katanya, tindakan kompaun minimum RM1,500 dan maksimum RM10,000 akan terus dikenakan kepada mereka yang melanggar SOP.

“Pemantauan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa. Hal ini kerana kebanyakan kes Covid-19 di Kelantan berpunca daripada majlis keramaian,” katanya.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hingga 11 April di tiga kawasan di Semerak, Pasir Puteh, Abdullah berkata, kawalan di pintu masuk setiap lokasi berkenaan kini dikawal ketat.

Katanya, seramai 60 anggota sudah ditempatkan di ketiga-tiga kawasan tersebut yang akan bergilir-gilir membuat kawalan 24 jam sehari.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *