KOTA BHARU: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin dikuatkuasakan di Kelantan jika rakyat terus degil dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyebabkan kes Covid-19 di negeri ini terus meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, ketika ini, kadar kebolehjangkitan pandemik itu di Kelantan adalah antara yang tertinggi di Malaysia.
Jelas beliau, jika tidak mahu PKP kembali dilaksanakan, rakyat di negeri dirayu supaya patuh kepada SOP dan terus mengamalkan kebiasaan baharu bagi membendung penularan pandemik tersebut.
“Jika kadar kebolehjangkitan ini tidak turun, kita boleh jangka kes Covid-19 akan naik mencanak berbanding biasa.
“Apabila kes naik, Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak akan teragak-agak mengenakan PKP,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Dr. Izani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang memberitahu, pelaksanaan kembali PKP di negeri ini bakal memberikan impak negatif dari segi ekonomi kepada semua pihak.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, sehingga hari ini hanya kira-kira 200,000 penduduk daripada 1.2 juta rakyat Kelantan mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, jumlah tersebut amat rendah sekali gus meletakkan Kelantan di kedudukan kedua tercorot di negara ini dalam aspek pendaftaran suntikan vaksin.
“Tindakan ini memperlihatkan tahap kesedaran untuk mendaftar suntikan vaksin Covid-19 dalam kalangan rakyat negeri ini masih lagi rendah.
“Kita akan terus lipat gandakan usaha pendaftaran ini dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan matlamat itu tercapai,” katanya.
Kredit : Utusan Online