
JERANTUT – Seorang pesara sempat solat subuh berjemaah di Masjid Temin sebelum maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di Kilometer 5 Jalan Jerantut – Temerloh dekat simpang Kampung Pisang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 pagi itu, Lahlin Zakaria, 72, merupakan pesara Jabatan Pertanian meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 datang dari arah Jerantut dan berlanggar dengan Perodua Myvi dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah dan meninggal dunia dilokasi kejadian manakala pemandu kereta terbabit iaitu seorang remaja berbangsa Cina tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Utusan Timur