MB Kelantan rayu rakyat segera daftar penerima vaksin

 

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob merayu rakyat Kelantan supaya segera mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menerusi aplikasi MySejahtera.

Menurut Ahmad, jumlah individu yang mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin dalam PICK di negeri ini masih ketinggalan dan jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri lain.

“Kita berharap sangat rakyat di negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi mencegah penularan pandemik itu. Jangan amalkan sikap tunggu dan lihat untuk menerima suntikan vaksinasi Covid-19.

“Kita akan arahkan pegawai sedaya upaya sampaikan maklumat dan meminta orang ramai segera mendaftarkan diri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima dos kedua vaksin sempena program PICK Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.

Antara pemimpin negeri yang menerima dos kedua ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta barisan Exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat yang turut menerima dos kedua memberitahu, kesemua 1,712 pegawai dan anggota polis di seluruh Kelantan telah selesai menerima dos pertama.

Setakat ini katanya, tiada warga PDRM Kelantan menolak untuk menjalani pemvaksinan.

“Suntikan dos kedua bermula hari ini diketuai saya dan pegawai kanan negeri yang lain, disusuli anggota kita yang dijangka menerima suntikan itu secara berperingkat,” katanya.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *