3,170 Kes Covid-19 Rentas Negeri Sejak 1 Januari Hingga Hari Ini

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan 3,170 kes Covid-19 rentas negeri setakat hari ini sejak 1 Januari lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah tersebut, Kedah mencatatkan kes tertinggi sepanjang tempoh itu iaitu 714 kes diikuti Perak, 582 kes dan Negeri Sembilan, 370 kes.

“Kluster-kluster rentas negeri turut menunjukkan peningkatan sejak gelombang ketiga bermula iaitu pada 20 September 2020.

“Kluster rentas negeri merupakan kluster yang melibatkan kes indeks atau kes pertama yang dikesan mendapat jangkitan Covid-19 dari negeri lain, dan seterusnya mengakibatkan penularan jangkitan tempatan,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi Covid-19 di sini pada Ahad.

Berikutan peningkatan kluster-kluster rentas negeri ini, kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri bermula pada 13 Januari lepas.

Setelah larangan tersebut dilaksanakan selama beberapa bulan, pelaporan kes-kes baharu harian negara yang melibatkan kluster rentas negeri mula menunjukkan penurunan secara konsisten dengan kluster terakhir dilaporkan pada 30 Januari 2021 iaitu Kluster Tersat di Terengganu.

“Sehingga kini, terdapat tiga kluster rentas negeri yang masih aktif iaitu Kluster Tembok Mempaga, Kluster Tembok Bukit Besi, dan Kluster Pasai,” katanya.

Kes dan kluster rentas negeri ini bukan sahaja mengakibatkan penularan jangkitan kepada kawasan zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak.

Sehubungan itu Dr Noor Hisham berkata, rakyat perlu sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan termasuklah kepatuhan terhadap larangan merentas negeri kecuali kerana perkara penting dan perlu mendapat kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kredit: Bernama

 

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *