Bawa anak demam lepas gian

Sebahagian daripada 26 lelaki disyaki penagih yang ditahan dalam serbuan AADK di Kampung Gemuroh, Bukit Payung, Marang hari ini.

MARANG – Demi melepaskan gian, seorang bekas tentera sanggup membawa anak bongsu menemaninya ke sarang penagihan dadah di kawasan pinggir sungai berhampirn Kampung Gemuroh, Bukit Payung di sini hari ini.

Begitupun, tindakan membawa anak lelaki berusia enam tahun yang sedang demam itu membawa padah apabila mereka diberkas bersama 25 lelaki lain juga dipercayai penagih dadah di lokasi berkenaan dalam serbuan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang berakhir pada pukul 2 petang.

Suspek, Mamat (bukan nama sebenar), 39, mengaku menyesal membawa anak lelaki itu ke sarang penagihan dadah berkenaan yang didakwa baru dikenali sejak tiga hari lalu.

“Sewaktu saya sedang menggunting rambut anak saya di rumah, seorang rakan datang mengajak saya untuk melepaskan gian.

“Saya tiada pilihan selain membawa anak saya bersama dengan memaklumkan kepada isteri yang sedang bekerja kononnya ke kedai untuk membeli makanan,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di Pejabat AADK Marang di sini hari ini.

Mamat mendakwa dia meminta salah seorang kawan menjaga anaknya di luar kawasan belukar berhampiran sungai tersebut untuk melepaskan gian sebelum kawasan itu telah diserbu pasukan penguat kuasa AADK.

Dia yang kini menganggur mengaku mula terjebak dengan najis dadah sejak tiga tahun dan mendakwa pada asalnya bertujuan mengubati kesalahan sakit belakang ekoran terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Marang
Roslina Awang berkata, serbuan yang bermula pada pukul 7 pagi itu berjaya memberkas 26 lelaki disyaki penagih dadah berusia dalam lingkungan 26 hingga 58 tahun.

Beliau berkata, ujian urin mendapati kesemua suspek positif jenis opiat dan pil kuda.

“Kesemua suspek akan direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 Akta Penagih 1983 dan Seksyen 62 akta sama.

“Kawasan pinggir sungai Kampung Gemuroh tersebut telah dikenalpasti lokasi sarang penagihan dadah tegar di daerah ini,” katanya. –

Kredit :Kosmo! ONLINE

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *