Bayi nyaris lemas angkara SUV masuk tali air

TUMPAT – Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 bertindak pantas apabila berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki berusia setahun enam bulan yang berada di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menggelongsor masuk ke dalam tali air semalam.
Kejadian sekitar pukul 6.30 itu berlaku di hadapan sekatan jalan raya (SJR) dekat Pos Nibong di sini.
Sumber PGA berkata, dua anggota PGA yang sedang bertugas secara tiba-tiba tendengar jeritan dipercayai daripada ibu bayi berkenaan.
Katanya, anggota tersebut kemudiannya ternampak sebuah SUV jenis Toyota Harrier yang diletakkan di hadapan kedai runcit sedang bergerak memasuki tali air berhampiran Pos Nibong.
“Wanita itu menjerit dan memaklumkan anaknya berada di dalam SUV tersebut.
“Tanpa berlengah, dua anggota PGA itu bertindak pantas dengan terjun ke dalam tali air itu untuk menyelamatkan bayi terbabit,” katanya.
Tambahnya, bapa kepada bayi itu turut terjun ke dalam tali air bagi menyelamatkan anaknya.
“Selepas 15 minit berusaha, akhirnya bayi itu berjaya diselamatkan.
“Dua anggota itu kemudiannya menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada ibunya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud ketika dihubungi memaklumkan bahawa polis masih belum menerima laporan mengenai kejadian itu.
Kredit: KOSMO! Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *