

JERANTUT – Naib Ketua Pemuda UMNO cawangan Pedah dikhuatiri lemas selepas menjala ikan di Sungai Pahang berhampiran Kampung Kampung Lada, di sini malam tadi.
Mangsa, Ariff Helmi Saharuddin, 26, dipercayai tergelincir ke dalam sungai ketika berada di sebuah sangkar ikan selepas menjala ikan kira-kira pukul 11 malam.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah berkata, beliau menerima khabar duka itu awal pagi tadi dan pergi ke lokasi kejadian untuk berjumpa ahli keluarga mangsa.
“Saya difahamkan mangsa pergi menjala ikan bersama rakannya dan dia dilaporkan hilang selepas jatuh ke sungai berhampiran sebuah sangkar ikan.
“Saya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bersama anggota bomba di sekitar lokasi kejadian,” katanya hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal berkata, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bersama enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air BBP Bukit Angin, Temerloh mengetuai operasi SAR dan mayat mangsa masih belum dijumpai. – Utusan Timur