Usul benar rentas daerah di Terengganu dibincang

ARIFFIN Deraman (tengah) menyampaikan sumbangan Berkat 2021 kepada wakil pemandu teksi LTSM di Kampung Budaya Terengganu, Kuala Terengganu hari ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan mengusulkan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan pergerakan rentas daerah di seluruh Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu diyakini dapat membantu industri pelancongan domestik dan perhotelan agar kembali bernafas selepas terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kebenaran rentas daerah itu dijangka memberi lonjakan sekurang-kurangnya 30 peratus kepada industri pelancongan negeri.

“Kita bimbang jika larangan rentas daerah berpanjangan untuk tempoh lama, industri pelancongan di Terengganu mungkin berkubur.

“Pada bulan ini kita sepatutnya sudah menerima kemasukan pelancong kerana pulau-pulau peranginan lazimnya dibuka pada Februari,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan insentif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) 2021 bernilai RM44,100 kepada kepada wakil pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di samping pemandu pelancong bandar dan alam semulajadi, di Kampung Budaya Terengganu, di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Pelancongan negeri, Mohd. Huzairil Nizam Ibrahim.

Seramai 44 pemandu teksi LTSM di samping 103 pemandu pelancong bandar dan alam semulajadi menerima bantuan sebanyak RM300 setiap seorang.

Ariffin berkata, usul kebenaran pergerakan rentas daerah tersebut akan dibawa untuk dibincangkan secara terperinci ke Mesyuarat MKN negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, esok. –

KREDIT : UTUSAN ONLINE

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *