MyDIGITAL Pacu Pelaksanaan 5G Di Malaysia

PUTRAJAYA – Pelaburan RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun dilihat mampu memacu pelaksanaan perkhidmatan 5G secara komersil di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penyediaan infrastruktur 5G akan diterajui sebuah entiti khusus milik kerajaan, Government of Malaysia Special Purpose Vehicle (GOMSPV) yang dikawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, penyediaan dan pengurusan infrastruktur 5G oleh GOMSPV bagi membolehkan pengagihan kapasiti 5G kepada syarikat-syarikat telekomunikasi dilaksanakan secara saksama dan telus.

“Model pelaksanaan ini juga akan menjimatkan perbelanjaan modal syarikat telekomunikasi dan mengelakkan pertindihan infrastruktur jika mereka membina rangkaian infrastruktur secara berasingan.

“Kesan penjimatan dan pelaksanaan yang teratur ini akan dapat dinikmati oleh pengguna dalam bentuk kos perkhidmatan 5G yang berpatutan. Perkongsian infrastruktur di bawah GOMSPV membolehkan syarikat telekomunikasi menyediakan perkhidmatan 5G yang lebih luas dan kos yang kompetitif kepada pengguna di samping menjana pulangan lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, ia akan melonjakkan penggunaan 5G dengan lebih cepat dan meningkatkan keupayaan ekonomi dalam mencetuskan lebih banyak inovasi produk dan perkhidmatan.

Melalui kaedah ini, katanya, syarikat telekomunikasi juga dapat menumpukan perhatian kepada usaha memperluas liputan gentian optik dan memantapkan liputan 4G ke seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar.

“Liputan 4G yang mantap memberi sokongan rangkaian dan menyediakan asas kukuh untuk penggunaan 5G. Liputan yang baik, literasi digital yang tinggi, kos yang berpatutan, dan inovasi yang dinamik akan menyumbang kepada ekosistem ekonomi digital yang berdaya saing seperti yang dihasratkan oleh aspirasi MyDIGITAL yang dilancarkan Perdana Menteri pada 19 Februari lalu.

“Selaku pengawal selia pelaksanaan 5G, SKMM akan menyediakan lesen operasi mengikut syarat-syarat yang dipersetujui dan peruntukan jalur spektrum kepada GOMSPV untuk pelaksanaan 5G. Kerajaan juga memberi komitmen untuk mewujudkan Pusat Pengalaman Digital Negara bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang kegunaan 5G serta membantu peralihan dan inovasi 5G,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin dengan persefahaman dan usaha yang menyeluruh, kerajaan mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia menerusi agenda pelaksanaan 5G yang cekap ke arah aspirasi MyDIGITAL menjelang tahun 2030.

Kredit : Utusan Online

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *