Nasi lemak Hotel Darul Makmur laris

Mansor Mat Isa (kiri) mengiringi Nazri Ngah melawat kiosk nasi lemak di hadapan Hotel Darul Makmur, Jerantut hari ini

JERANTUT – Hotel Darul Makmur berjaya menjual lebih 100 bungkus nasi lemak setiap hari sejak sistem ‘Pandu Lalu’ diperkenalkan 6 Feb lalu.

Pengurusnya, Mansor Mat Isa berkata, beliau tidak menyangka nasi lemak pandan dan bunga telang yang dijual di kiosk hadapan hotel berkenaan mendapat sambutan hebat.

“Tujuan utama kita adalah untuk memperkenalkan dua menu ini kepada orang ramai kerana ia hanya menjadi hidangan di kafeteria hotel sebelum ini.

“Sekarang orang ramai boleh menikmati kedua-dua nasi lemak ini dengan harga RM2 sebungkus bermula pukul 7.30 pagi hingga 11.00 pagi setiap hari,” katanya di sini hari ini.

Mansor Mat Isa (kanan) bersama stafnya menunjukkan dua hidangan nasi lemak yang enak di Hotel Darul Makmur, Jerantut hari ini

Menurutnya, pembukaan kiosk secara tidak langsung menjana pendapatan hotel yang terjejas akibat wabak pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, kami menerima maklum balas yang positif daripada pelanggan dan kami akan menyediakan sajian terbaik untuk para pelanggan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan menghantar makanan kepada pelanggan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan orang ramai boleh menghubungi talian 09-2662552 atau WhatsApp 019-9802511 untuk tempahan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, pihak pengurusan hotel melakukan tindakan bijak dalam usaha menjana pendapatan dan memperkenalkan menu mereka kepada orang awam.

“Kaedah ini boleh menjadi contoh kepada peniaga lain malah mereka perlu lebih kreatif untuk menarik perhatian pelanggan,” kata beliau. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *