
JERANTUT – Seramai 200 orang menerima Bantuan Am Negeri Pahang di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, di sini hari ini.
Bantuan one-off RM300 itu diberikan kepada penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, sumbangan kerajaan negeri itu membuktikan kepimpinan yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail amat prihatin dengan nasib rakyat.
“Kerajaan negeri sentiasa menjaga kebajikan rakyat di negeri ini dan kita tahu ramai yang terjejas akibat wabak pandemik Covid-19.
“Kita harap sumbangan ini dapat membantu mereka yang susah untuk membeli keperluan harian bagi menyara keluarga masing-masing,” katanya hari ini.

Menurutnya, beliau juga masih menjalankan aktiviti Ziarah Kasih di sekitar DUN Pulau Tawar bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.
“Saya bersama barisan kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut akan meneruskan pragram Ziarah Kasih untuk membantu golongan kurang bernasib baik,” jelasnya. – Utusan Timur