

JERANTUT – Empat tayar lori yang tersangkut di dalam longkang menjadi punca utama kejadian banjir kilat di laluan Jerantut – Benta di hadapan Bank Hong Leong, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Lalulintas Majlis Daerah Jerantut (MDJ), Datuk Ridzuan Mansor berkata, siasatan beberapa agensi yang terlibat mendapati terdapat empat tayar jentera berat tersangkut di dalam longkang sehingga mengganggu aliran air.

“Banjir kilat sering berlaku setiap kali hujan lebat di kawasan terbabit dan kita telah melakukan satu gotong-royong khas semalam untuk mengenalpasti punca sebenar.
“Kita telah menemui empat tayar bersaiz besar di dalam longkang utama menyebabkan air tidak mengalir dengan baik dan melimpah ke atas jalan,” katanya.
Menurutnya, beliau amat kecewa dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab membuang tayar tersebut ke dalam longkang.
“Kita tidak menolak kemungkinan tayar yang berada di dalam longkang itu dibuang oleh individu yang menukar tayar kenderaan di kawasan berdekatan,” ujarnya.
Ridzuan memberitahu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada agensi terlibat termasuk pejabat Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam ( SWCorp), Alam Flora, Bomba dan Penyelamat Jerantut, polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah kerana menjayakan program gotong-royong.
“Saya harap agar semua pihak tidak membuang sampah dan objek bersaiz besar ke dalam longkang bagi mengelak banjir kilat pada masa akan datang,” jelasnya. – Utusan Timur