RM88,000 baik pulih segera jalan rosak di kawasan Ulu Tembeling

Nazri (dua dari kanan) bersama Abdul Aziz (tengah) membuat tinjauan jalan rosak di laluan Kampung Pagi ke Mat Daling, Jerantut semalam

JERANTUT – Peruntukan khas RM88,000 diluluskan oleh kerajaan negeri ini untuk membaik pulih jalan raya yang rosak teruk menghubungkan Kampung Pagi ke Kampung Mat Daling, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, peruntukan yang diberikan itu amat diperlukan untuk melakukan kerja-kerja baik pulih dengan segera beberapa kawasan yang rosak.

“Jalan yang rosak ini merupakan laluan utama penduduk Ulu Tembeling untuk ke pusat bandar.

“Kerajaan negeri amat prihatin dengan nasib hampir 2000 penduduk di kawasan terbabit menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meluluskan peruntukan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat membuat tinjauan di laluan tersebut semalam bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Abdul Aziz Kiram.

Menurut Nazri, Jabatan Kerja Raya Jerantut telah membuat anggaran kos untuk membaik pulih sepenuhnya jalan yang rosak sebanyak Rm36.8 juta.

“Kita harap kerajaan pusat dapat membuat pertimbangan sewajarnya agar laluan terbabit dapat dibaiki secepat mungkin untuk kemudahan penduduk,” ujarnya. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *