Al-Sultan Abdullah mencemar duli tinjau operasi SAR di Sungai Pahang

Al-Sultan Abdullah (tengah) mendengar taklimat SAR di Kampung Kuala Kujan, Temerloh hari ini

TEMERLOH – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mencemar duli meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja, Loqman Hamka, 20 yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Kuala Kujan, Jalan Triang, di sini Jumaat lalu.

Baginda berangkat bersama anakandanya, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sempat meluangkan masa hampir satu jam termasuk meninjau operasi SAR menggunakan bot bersama pihak berkuasa.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin, ADUN Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman.

Baginda yang tiba di pusat SAR di Kampung Tebing Tinggi pada pukul 2.50 petang itu diberi taklimat mengenai operasi pencarian.

Al-Sultan Abdullah turut bertemu dengan keluarga mangsa untuk memberi kata-kata semangat dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Jumaat lalu, Loqman keluar bersendirian menaiki bot bagi melihat rawai di sangkar ikan milik keluarganya.

Namun bot yang dinaiki mangsa kemudiannya ditemukan hanyut oleh penduduk setempat dan operasi SAR yang masuk hari ketujuh hari ini masih belum menemui mangsa. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *