
JERANTUT – Semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) di daerah ini perlu menghantar laporan segera kawasan banjir bagi mempercepatkan proses agihan bantuan kerajaan negeri kepada mangsa terlibat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, semua pihak juga harus bersiap sedia untuk berdepan musim tengkujuh kali ini terutama penduduk di kawasan berisiko.
“Kita memerlukan kerjasama Pengerusi JKKK setiap kawasan untuk melakukan tindakan segera sekiranya ada rumah yang terjejas banjir dalam kawasan mereka.
“Semua agensi yang terlibat juga sudah bersiap sedia untuk berdepan musim tengkujuh kali ini ekoran cuaca yang tidak menentu,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini belum ada kawasan yang dilanda banjir di daerah ini malah taburan hujan juga masih sedikit.
“Penduduk di kawasan rendah perlu membuat persiapan awal terutama memastikan semua dokumen penting berada di kawasan yang selamat,” ujarnya.
Beliau sebelum itu mengadakan Ziarah Kasih Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar di Felda Sungai Tekam bagi menyerahkan 10 sumbangan kepada mereka yang memerlukannya.
“Ini adalah permulaan dan kita akan bergerak ke kawasan lain selepas ini untuk mengedarkan sumbangan tersebut,” jelasnya. – Utusan Timur