JERANTUT – Seramai 50 masyarakat India di daerah ini menerima sumbangan sempena sambutan Deepavali kali ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud di Dewan Taman Muhibbah di sini kelmarin.
Zuridan berkata, sumbangan tersebut diberikan kepada golongan kurang berkemampuan agar mereka dapat meraikan Deepavali dengan ceria.
“Semua sudah sedia maklum, kita kini berdepan dengan penularan wabak Covid-19 jadi perayaan Deepavali tidak dapat disambut dengan meriah seperti sebelum ini.
“Saya harap masyarakat India di daerah ini dapat mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa ketika menyambut perayaan ini,” katanya.
Menurutnya, seluruh masyarakat juga perlu mengekalkan disiplin bagi memastikan tiada peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.
“Semua pihak perlu bekerjasama tanpa mengira kaum dan pangkat bagi memastikan wabak ini tidak menular lagi,” ujarnya. – Utusan Timur