Keunikan pokok kelat gelam jadi tarikan pendaki Bukit Merah

Keunikan pokok kelat gelam dan pemandangan menarik di Bukit Merah, Felda Padang Piol menarik perhatian pengunjung – Gambar Hiasan

JERANTUT – Keunikan pokok kelat gelam serta pemandangan menarik menggamit peminat sukan pendakian untuk menerokai Bukit Buloh atau lebih dikenali dengan nama Bukit Merah di Felda Padang Piol, di sini.

Biarpun Bukit Merah sudah lama menjadi destinasi wajib pendaki di daerah ini namun ia diperkenalkan secara rasminya hari ini oleh Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Nazlan berkata, keunikkan batang pokok kelat kelam yang berwarna kemerahan dan pemandangan menarik di puncak bukit berkenaan seolah-olah berada di luar negara berjaya menarik ramai pendaki untuk menerokainya.

“Daerah ini mempunyai banyak lokasi pendakian dan kini kita lihat ramai orang luar datang untuk menguji ketahanan memanjat Bukit Seladang, Bukit Panau, Gunung Benom dan Via Ferrata Paya Gunung.

“Produk-produk pelancongan ini perlu dipromosi secara meluas kerana kehadiran orang luar mampu menjana ekonomi penduduk tempatan,” katanya pada majlis pelancaran pusat pelancongan baharu Bukit Merah di Felda Padang Piol, di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Tahan,Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin,Pengarah Pelancongan,Seni dan Kebudayaan Negeri, Datuk Idrus Yahya, dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Ahmad Nazlan (dua dari kanan) memotong kek Bukit Merah sebagai simbolik perasmian di Felda Padang Piol, Jerantut hari ini

Menurutnya, Bukit Merah yang mempunyai ketinggian 371 meter dari paras laut terletak di kawasan yang strategik iaitu di laluan utama pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan.

“Pelancong yang datang boleh singgah untuk menikmati keindahan Bukit Merah selain menerokai Taman Negara dan saya menyeru semua pihak untuk menjaga kebersihan di sepanjang laluan hingga ke puncak bukit ini,” ujarnya. – Utusan Timur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *