20 belia jadi perintis projek sayuran fertigasi

Nazri Ngah (berdiri tengah) bergambar bersama peserta projek sayuran fertigasi di Pejabat DUN Pulau Tawar, Jerantut baru-baru ini.

JERANTUT – Seramai 20 belia kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar terpilih untuk menjadi perintis projek tanaman sayuran fertigasi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, 15 daripada peserta berkenaan ada dari kalangan belia Felda manakala lima lagi dari kampung tradisional.

“Projek kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Pahang dan Jabatan Pertanian ini turut melibatkan DUN Jelai, Cameron Highlands.

“Kita mahu pastikan belia Felda dan kampung tradisional menjana pendapatan menerusi projek ini yang dilihat mampu menghasilkan pulangan lumayan,” katanya baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sedar ramai belia yang terjejas akibat wabak Covid-19 sehingga ada yang hilang pekerjaan jadi mereka perlu gunakan peluang tersebut untuk menjana pendapatan.

“Setiap peserta akan dibekalkan 2000 polybag bersama tiga rakan lain bagi memastikan lebih ramai mendapat ilmu tentang pertanian fertigasi,” ujarnya.

Beliau berkata, jenis sayuran yang akan ditanam bergantung kepada mentor setiap peserta seperti terung, cili, timun, timun tua atau sayuran lain.

Tambahnya, beliau berharap program tersebut dapat dikembangkan bagi melahirkan 100 usahawan tani berjaya dalam DUN Pulau Tawar dalam masa setahun. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *