Kerajaan Negeri Pahang mahu Taman Negara kembali beroperasi

Taman Negara Kuala Tahan tidak dibenarkan beroperasi akibat penularan wabak Covid-19

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang mahu Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut dan Merapoh, Lipis kembali beroperasi bagi membolehkan penduduk tempatan mandapatkan sumber pendapatan melalui industri pelancongan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya menyeru kerajaan pusat dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya memberi kebenaran secepat mungkin untuk kedua-dua lokasi Taman Negara itu kembali beroperasi.

“Ramai pengusaha eko-pelancongan terutama penduduk kampung hilang punca pendapatan ekoran arahan penutupan dua lokasi yang menjadi tumpuan pelancong itu.

“Kedua-dua lokasi Taman Negara ini tidak berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jadi lebih baik sekiranya aktiviti pelancongan diteruskan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menerima banyak rungutan daripada pemilik resort dan chalet serta penduduk tempatan kerana mereka terpaksa menanggung kerugian dan tiada punca pendapatan akibat ketiadaan pelancong.

“Mereka yang terjejas terdiri daripada 170 pemandu pelancong, 78 pengusaha bot di Sungai Tahan, 30 pengusaha bot di Sungai Tembeling, 17 agensi pelancongan dan 38 pengusaha penginapan,” ujarnya.

Wan Rosdy memberitahu, perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pagi semalam dan menyeru Kerajaan Pusat membatalkan segera arahan penutupan tersebut.

Dalam pada itu, pihaknya menyeru agar pengusaha serta pengunjung terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *