ADUN Pulau Tawar bebas Covid-19

Nazri Ngah

KUANTAN – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah disahkan bebas wabak pandemik Covid-19 apabila keputusan ujian kedua Polymerase Chain Reaction (PCR) semalam adalah negatif.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan ujian tersebut dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah kepadanya pagi tadi.

“Saya juga diberitahu bahawa semua individu yang rapat dengan Nazri sebelum ini juga tiada risiko jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Nazri sebelum ini mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah bagi membantu jentera Pilihanraya Barisan Nasional (BN) sebelum kembali ke negeri ini 25 September lalu.

Bagaimanapun, Wan Rosdy menyeru orang ramai agar melakukan aktiviti harian mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keslamatan Negara (MKN).

“Kita tidak boleh sekali-kali alpa tentang perkara ini kerana wabak pandemik Covid-19 masih belum reda dan semua orang perlu berwaspada agar virus ini tidak terus menular,” ujarnya.

Tambahnya, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pegawai dan petugas di Jabatan Kesihatan Negeri yang bertindak pantas dalam menangani wabak pandemik ini.

Orang ramai juga diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat palsu di media sosial bagi mengelak suasana panik di kalangan masyarakat setempat. – Utusan Timur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *