Masjid, pasar malam dan pusat rekreasi di Jerantut ditutup elak penularan Covid-19

Kerja-kerja sanitasi di Masjid Tengku Ahmad, Jerantut dilakukan semalam.

JERANTUT – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengambil langkah drastik apabila menutup beberapa lokasi tumpuan umum ekoran penularan wabak pandemik Covid-19 sejak Jumaat lalu.

Setakat ini, empat individu yang tinggal di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Peringkat 3 dan 4 serta PAKR Bandar Baru dikesan positif Covid-19.

Pengerusinya, Khairunnisa Aris berkata, tempat-tempat awam yang ditutup termasuk Masjid Tengku Ahmad, Padang FA, Pusat Rekreasi Taman Teratai, Via Ferrata Paya Gunung, Bukit Seladang, Bukit Merah dan Bukit Panau di tutup selama 14 hari.

“Kita juga terpaksa hentikan semua operasi pasar malam dan pekan sehari di daerah ini bagi mengelak orang ramai berkumpul.

“Tadika dan taska di PAKR 3 dan 4 serta PAKR Bandar Baru juga ditutup bagi mengelak penularan wabak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, individu pertama yang dikesan positif Covid-19 mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sebelum ini.

“Saya harap semua pihak dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengelak penularan wabak ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau menyeru agar semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu bagi mengelak situasi panik di kalangan masyarakat setempat.

“Penyebaran maklumat palsu boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588),” jelasnya. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *