LGM mahu lahirkan lebih ramai usahawan berasaskan getah

Ahmad Nazlan (kanan) melihat bantal yang dihasilkan dengan susu getah di Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut

JERANTUT – Lembaga Getah Malaysia (LGM) mahu melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera pada masa akan datang.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, golongan bumiputera disaran untuk meneroka industri berasaskan getah dalam menjana ekonomi.

“Sekarang kita ada lebih 20 usahawan yang membuat pelbagai produk berasaskan susu getah dan jumlahnya dijangka meningkat pada masa akan datang.

“Kita memerlukan golongan belia yang kreatif untuk menghasilkan produk-produk baharu berasaskan susu getah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pameran usahawan berasaskan getah ketika menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut di sini baru-baru ini yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya.

Ahmad Nazlan (tengah) bersama Muslimin mendengar taklimat daripada usahawan warna susu getah di Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut

Ahmad Nazlan memberitahu, beliau amat tertarik dengan dua produk yang dihasilkan menggunakan susu getah iaitu bantal dan pewarna.

“Dua produk ini boleh dipasarkan melalui kerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia kerana ia ada hubung kait,” ujarnya.

Tambahnya, warna dari susu getah boleh menggantikan warna air manakala bantal boleh digunakan oleh sekolah-sekolah dan institusi yang mempunyai asrama.

“Kita akan adakan satu program iaitu Hari Teknologi Getah bagi membolehkan para usahawan memperkenalkan produk masing-masing kepada orang ramai sekaligus memberi galakan kepada orang lain untuk menghasilkan produk sendiri dengan bantuan LGM,” jelasnya. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *