Tujuh buah RRP dibina di Jerantut

Nazri (tengah) bersama Ahmad Nazlan (dua dari kanan), Zuridan (dua dari kiri) dan Mohd Zakhwan (kiri) melakukan gimik pecah tanah Rumah Rakyat Pahang di Pulau Tawar, Jerantut hari ini

JERANTUT – Tujuh buah Rumah Rakyat Pahang (RRP) akan dibina di daerah ini bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, pembinaan rumah berkenaan diagihkan mengikut empat kawasan di daerah ini.

“Dua buah rumah dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, DUN Tahan (2), DUN Damak (2) dan sebuah rumah dalam kawasan Parlimen Jerantut.

“Tujuh rumah ini merupakan sebahagian daripada 98 buah yang diluluskan oleh kerajaan negeri meliputi semua daerah di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah projek berkenaan di Pulau Tawar, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris; ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud.

Menurut Nazri, pembinaan rumah berkenaan membuktikan Keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Mereka yang terpilih harus mematuhi syarat yang telah ditetapkan iaitu pemilik tidak boleh menjual atau memajak rumah berkenaan kepada orang lain,” ujarnya.

Tambahnya, beliau berharap agar individu yang terpilih dapat manfaatkan pemberian kerajaan negeri ini dan kontraktor yang dilantik dapat melakukan kerja-kerja pembinaan dengan baik. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *