Tengku Hassanal Ibrahim lawat mangsa kebakaran di SMA Ehyail Maarif Ulu Cheka

Tengku Hassanal Ibrahim (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar SMA Darul Ehyail Maarif di Ulu Cheka, Jerantut hari ini

JERANTUT – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah hari ini mencemar duli melawat Sekolah Menengah Agama Darul Ehyail Maarif, Ulu Cheka, di sini yang terbakar kelmarin.

Baginda sebelum itu menunaikan solat Jumaat di Masjid Ulu Cheka, di sini bersama penduduk tempatan.

Selesai solat, baginda kemudiannya melawat bahagian sekolah berkenaan yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini.

Tengku Hassanal Ibrahim turut meninjau asrama sementara yang menempatkan pelajar lelaki dan menyampaikan sumbangan kepada semua pelajar di sekolah terbabit.

Baginda menyeru agar semua pelajar memberi fokus untuk menuntut ilmu tanpa memikirkan musibah yang melanda.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah; Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud.

Dalam kejadian pukul 9.15 pagi kelmarin, sebuah blok asrama lelaki, dewan dan dua kelas musnah dalam kebakaran tersebut.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi pengetua sekolah berkenaan, Ustaz Abdul Ghani Abdul Kadir di talian 0136181365. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *