
JERANTUT – Sebanyak enam stesen minyak koperasi akan dibina secara berperingkat di kawasan luar bandar di negeri ini sehingga hujung tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, jumlah itu adalah dari 19 stesen minyak yang akan dibina di seluruh negara.
“Pembinaan stesen minyak ini merupakan kerjasama strategik antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Smart Stream Resource Sdn. Bhd. (Smart Stream).
“Kita memilih kawasan luar bandar termasuk kawasan tanah rancangan, tanah persekutuan dan tanah berkelompok bagi meningkatkan ekonomi penduduk tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Psrsefahaman (MOU) antara Smart Stream Resource Sdn Bhd dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di sini semalam.
Hadir sama, Naib Pengerusi Eksekutif, Operasi dan Kawal Selia, SKM, Abas Abu Bakar dan Pengarah Urusan Smart Stream, Mohd Khairuddin Saimon.
Menurutnya, Smart Stream yang bekerjasama dengan Petronas dapat menyediakan bekalan bahan petroleum pada harga, kuantiti dan kualiti yang sama seperti di bandar,” ujarnya.
Nazri memberitahu, sebanyak 43 buah stesen minyak koperasi jenama Smart dibina pada tahun lepas di seluruh negara dengan nilai jualan RM 87.7 juta.
“Sebanyak 15 buah stesen minyak koperasi di Pahang dengan jumlah jualan mencecah RM 37.4 juta,” jelasnya.
Tambahnya, sehingga Jun tahun ini, nilai jualan di stesen minyak koperasi seluruh negara berjumlah RM 37.7 juta manakala RM 14.5 juta direkodkan di negeri ini. – Utusan Timur