UMNO Jerantut yakin BN pertahankan DUN Chini

Nazri (baju kuning) mengadakan taklimat terakhir sebelum bermula sesi membuang undi di PRK Chini malam tadi

PEKAN – UMNO Bahagian Jerantut yakin Barisan Nasional (BN) mampu pertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Ketuanya, Datuk Nazri Ngah berkata, kejayaan Menteri Besar Pahang, kejayaan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mentadbir negeri ini dengan baik menjadi kunci utama pilihan rakyat untuk memilih BN.

“Kerajaan negeri telah melakukan usaha yang terbaik untuk membantu rakyat dan mereka pasti akan memilih BN untuk kekal di Chini.

“Kita juga tidak berdepan sebarang masalah sepanjang tempoh berkempen dan calon pilihan BN kali ini iaitu Mohamad Sharim Md. Zain juga merupakan anak tempatan,” katanya.

PRK Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei 2020 setelah meraih kemenangan empat penggal berturut-turut.

Menurut Nazri, beliau berharap agar penduduk tempatan yang keluar mengundi memilih calon BN sebagai wakil rakyat mereka bagi membolehkan Mohamad Sharim menyambung legasi Allahyarham Abu Bakar.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jentera pilihan raya terutama dari Jerantut yang telah berkampung di Chini untuk membantu calon BN,” jelasnya. – Utusan Timur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *