
JERANTUT – Pekan Damak, di sini menjadi tumpuan penggemar durian sejak awal bulan lalu apabila raja buah itu mulai gugur dan dijual di tepi jalan.
Kepelbagaian jenis durian yang dijual sekitar Damak, Ulu Cheka dan Perlok menjadikan kawasan berkenaan menjadi tumpuan orang luar setiap kali hujung minggu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud berkata, durian yang dihasilkan di kawasan sekitar pekan Damak adalah antara yang terbaik.
“Durian Jerantut sudah terkenal di seluruh negara kerana pekebun di daerah ini berjaya menghasilkan pelbagai jenis durian klon.
“Penggemar raja buah ini dapat menikmati pelbagai jenis durian termasuk Musang King, Duri Hitam, Ganja, Tok Litok, IOI, D96, D24 dan Tekka,” katanya.
Menurutnya, orang ramai boleh merasai keenakan kepelbagaian jenis durian yang mungkin tidak terdapat di negeri lain apabila bertandang ke daerah ini.
Sementara itu, seorang penjual durian, Azmi Khan Setapar, 31, memberitahu, biarpun harga durian naik sedikit berbanding tahun lepas namun permintaan tetap tinggi.

“Penghasilan buah kali ini agak kurang jadi harganya meningkat namun kedai saya tetap diserbu penggemar durian serta dibeli oleh pemborong,” jelasnya. – Utusan Timur
Tambahnya, durian dijual pada harga antara RM9 hingga RM40 sekilogram mengikut jenis dan gred. – Utusan Timur