Dana RM9.25 juta bantu siapkan rumah generasi kedua di Felda Gugusan Chini

Nazri Ngah (tengah) turut turun padang membantu Mohd Sharim berkempen sebelum PRK DUN Chini 4 Julai nanti

PEKAN 27 Jun – Projek perumahan generasi kedua yang terbengkalai di Felda Gugusan Chini mendapat perhatian kerajaan persekutuan dengan suntikan dana RM9.25 juta untuk menyiapkannya.

Pengerusi Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, peruntukan berkenaan disalurkan bagi membolehkan kerja-kerja menyiapkan rumah berkenaan dapat diteruskan.

“Projek perumahan tersebut sudah siap 70 peratus sebelum terbengkalai jadi kita akan bantu generasi kedua untuk mendapatkan kediaman sendiri apabila rumah berkenaan siap nanti,” katanya ketika membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain.

Menurutnya, isu yang membabitkan kemudahan generasi kedua Felda di kawasan berkenaan merupakan satu cabaran bagi Mohd Sharim.

“Mohd Sharim juga perlu meneliti keperluan penduduk kampung tradisional dan masyarakat Orang Asli,” jelasnya.

Beliau memberitahu, BN dijangka tidak menghadapi masalah untuk menang pada PRK nanti namun semua jentera parti dari semua peringkat yang hadir tetap melaksanakan kempen dengan berhemah. – Utusan Timur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *