ADUN DAMAK rai pekerja Alam Flora dan MDJ

Zuridan (kanan) menyerahkan kek kepada wakil Alam Flora ketika meraikan pekerja kebersihan di Jerantut hari ini

JERANTUT 17 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd Daud meraikan pekerja Alam Flora dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) sempena Hari Pekerja Pembersihan di sini hari ini.

Zuridan berkata, pekerja pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam itu banyak berjasa kepada seluruh masyarakat terutama dalam pengurusan kebersihan.

“Mereka wajar diraikan kerana sumbangan pekerja kebersihan ini amat besar bagi memastikan sampah dapat diuruskan dengan baik.

“Mereka keluar rumah awal pagi dan ada yang pulang pada waktu malam bagi memastikan sisa buangan dapat diambil dan dihantar ke pusat pelupusan sampah,” katanya.

Menurutnya, beliau kagum melihat pengorbanan yang dilakukan oleh pekerja kebersihan kerana mereka sanggup bergelumang dengan kekotoran dan bekerja tanpa mengira cuaca.

“Pada saya mereka juga adalah wira kita kerana tanpa khidmat mereka sudah pasti sampah yang kita buang setiap hari tidak terurus,” jelasnya.

Tambahnya, beliau juga menyeru kepada seluruh masyarakat agar menjaga kebersihan di mana sahaja kerana daerah ini merupakan lokasi tumpuan pelancong terutama dari luar negara yang datang ke Taman Negara Kuala Tahan.-Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *