BN rayu kemenangan tanpa bertanding PRK DUN Chini elak kluster baharu Covid-19

Wan Rosdy Wan Ismail
Nazri Ngah

KUANTAN 6 Jun – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mahu Barisan Nasional (BN) diberi kemenangan percuma pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai nanti.

Wan Rosdy berkata, sekiranya tidak ada mana-mana parti yang mencabar BN maka kempen untuk PRK tidak perlu dijalankan sekaligus mencegah penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara malah seluruh dunia pada masa ini.

“Kita sekarang berada pada fasa pemulihan wabak Covid-19 dan semua pihak perlu elakkan untuk berkumpul beramai-ramai di sesuatu tempat.

“Apabila tidak ada kempen PRK jadi kita telah mengambil langkah untuk mencegah wabak Covid-19 serta mengelak wujudnya kluster baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga dapat menjimatkan peruntukkan kira-kira RM4.3 juta sekiranya BN menang tanpa bertanding.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah memberitahu, parti lain patut mengikut jejak Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini yang mengumumkan parti tersebut tidak akan meletakkan calonnya bertanding pada PRK DUN Chini.

“Rakyat juga mahu BN kekal di DUN Chini malah jika mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum 14 sebelum ini, BN mampu meraih kemenangan lebih besar jadi biarlah BN menang percuma kali ini dan rakyat sudah selesa dengan pentadbiran Wan Rosdy,” ujarnya.

PRK tersebut akan diadakan ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei 2020 setelah meraih kemenangan empat penggal berturut-turut.

Pada PRU-14, Allahyarham meraih 10,027 undi berbanding calon PAS ketika itu, memperolehi 5,405 undi manakala calon dari PKR hilang wang pertaruhan apabila sekadar meraih 1,065 undi. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *