Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur akan dibina di Jerantut

Ahmad Nazlan (kiri) dan Nazri mengadakan perbincangan bagi menentukan lokasi projek Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur yang akan dibina di Jerantut tidak lama lagi

JERANTUT 22 Mei – Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur yang menelan kos hampir RM100 juta akan dibina di daerah ini.

Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, pusat penyelidikan yang dilengkapi dengan peralatan canggih itu juga akan menjadi produk pelancongan baharu di daerah ini yang turut dikenali sebagai Bandar Taman Negara.

“Kita juga akan membuka ladang getah yang baharu seluas 2,000 ekar sekaligus menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya hari ini.

Menurutnya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini dan berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan.

Ahmad Nazlan (dua dari kanan) mengadakan perbincangan projek Pusat Teknologi Getah Wilayah Timur bersama Wan Rosdy (dua dari kiri) di Kuantan baru-baru ini

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk membangunkan projek berkenaan di daerah ini.

“Projek ini akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan memandangkan kita juga mempunyai idea untuk menjadikan pusat teknologi getah ini sebagai produk agro pelancongan.

“Daerah ini menerima kunjungan pelancong asing yang ramai setiap tahun terutama di Taman Negara Kuala Tahan dan produk getah ini akan menjadi tarikan baharu bagi mereka,” jelasnya.

Beliau memberitahu, program pecah tanah projek berkenaan turut dicadangkan pada tahun ini setelah urusan di semua peringkat selesai.

“Saya dan Ahmad Nazlan telah mengadakan perbincangan yang terperinci terutama untuk menentukan lokasi yang sesuai bagi membangunkan projek tersebut.

“Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahmad Nazlan kerana berjaya membawa satu projek yang besar selepas beliau dilantik sebagai pengerusi LGM baru-baru ini,” ujarnya. – Utusan Timur

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *