

JERANTUT 22 Mei – Seramai 60 orang di daerah ini menjadi pilihan Allah untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ), di sini hari ini.
Solat yang diimami oleh Ahmad Mahathir Abdul Rahman itu disertai oleh ahli kariah masjid, beberapa agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat.
Kadi Daerah, Syarifuddin Mohamad Sa’ad berkata, solat Jumaat itu pertama kali diadakan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) setelah hampir dua bulan masjid tidak digunakan untuk sebarang aktiviti keagamaan termasuk solat berjemaah.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana kita dapat menunaikan solat Jumaat dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Ahli jemaah yang terpilih ini terlebih dahulu mengisi borang menerusi Google Forms sebelum menjalani saringan oleh pihak Jabatan Kesihatan Daerah dan mereka yang layak sahaja boleh datang untuk solat,” katanya.
Menurutnya, solat Jumaat berlangsung seperti biasa namun safnya di jarakkan satu meter dan pihaknya telah melakukan simulasi selama empat hari berturut-turut sejak Isnin.

“Pasti ramai yang ingin datang solat Jumaat namun kita terpaksa hadkan ahli jemaah dalam keadaan kita berdepan dengan penularan wabak Covid-19 dan saya harap masyarakat dapat memahami situasi ini,” ujarnya.
Tambahnya, beliau menyeru agar seluruh umat Islam mendoakan agar negara ini bebas daripada wabak pandemik Covid-19.
Pada masa yang sama, beliau turut menasihati umat Islam yang belum menjelaskan zakat fitrah agar berbuat demikian melalui amil yang telah dilantik atau bayaran menerusi atas talian. – Utusan Timur