KPDNHEP Pahang rekod 105 kes penipuan online

Nazri Ngah (depan) meninjau barangan keperluan musim perayaan di Pasaraya Econsave Jerantut hari ini.

JERANTUT 21 Mei – Penipuan transaksi atas talian atau online menjadi kes tertinggi yang direkodkan oleh
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, sebanyak 105 kes dilaporkan sejak PKP bermula 18 Mac lalu.

“Kes penipuan ini agak tinggi berikutan orang ramai memilih untuk membuat pembelian secara online kerana banyak kedai ditutup semasa PKP sebelum ini.

“Kes ini bagaimanapun hanya melibatkan penipuan berskala kecil kerana kes-kes yang besar seperti scammer dirujuk kepada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2020 di Pasaraya Econsave, di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah, Khairunnisa Aris; Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri, Ahmad Fitri Ali dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah, Abdul Mubin Ahmad.

Nazri Ngah (tengah) mengadakan sidang media di Pasaraya Econsave Jerantut hari ini

Nazri memberitahu, orang ramai perlu lebih berhati-hati ketika membuat pembelian secara online agar tidak menjadi mangsa penipuan individu tertentu.

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru lebih banyak pasaraya di negeri ini mengadakan jualan murah bagi mengurangkan beban orang ramai membuat persiapan Aidilfitri yang akan diraikan tidak lama lagi.

“Ada beberapa pasaraya sudah mula menurunkan harga barangan keperluan asas dan ini merupakan satu langkah bijak di saat ramai masyarakat kita yang terkesan dengan PKP sehingga hilang punca pendapatan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati kepada semua peniaga agar tidak menjual barangan melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh KPDNHEP.

“Melalui skim yang kita lancarkan pada hari ini, sebanyak 11 jenis barangan telah ditetapkan harga maksimum bermula semalam hingga 3 Jun depan,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim tersebut boleh melayari laman sesawang www.kpdnhep.gov.my atau hubungi talian bebas 1-800-886-800.

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *