Penoreh getah rugi RM141,590 diperdaya ‘Phone Scam’

TEMERLOH 15 Mei – Seorang penoreh getah terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM141,590 selepas diperdaya sindiket ‘Phone Scam’ baru-baru ini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kejadian bermula pada 27 April lalu apabila, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa talian internet mangsa digunakan untuk judi online dan akan dipotong sebelum mangsa disambungkan kepada individu yang kononnya pegawai polis.

Katanya, suspek kemudiannya menghantar pesanan WhatsApp kepada lelaki berusia 59 tahun itu bagi memaklumkan mangsa disenarai hitam kerana terlibat dalam perjudian online.

“Mangsa telah diarahkan memindahkan semua wang di dalam akaun milik mangsa ke dalam satu akaun selain diarahkan untuk menyerahkan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang mana wang telah disatukan di dalam satu akaun milik mangsa.

“Pada 12 Mei lalu, mangsa yang membuat semakan akaun bank mendapati terdapat pindahan wang sebanyak RM141,590 kepada empat akaun berbeza yang melibatkan 16 kali transaksi,”katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Yusri menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi atau maklumat perbankan kepada pihak ketiga.

“Jangan melayan panggilan telefon dari individu yang tidak dikenalpasti dan buat semakan secara bersemuka dengan pihak yang dinyatakan seperti mahkamah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Tamatkan segera perbualan dan jangan panik seterusnya buat semakan terus dengan balai polis berhampiran,”ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *